Friday, April 22, 2011

CERPEN: "Dia Ibu Tercintaku"

KEHENINGAN pagi membelah suria. Kicauan burung mula berbisik di telinga meminta aku bangun membuka mata melihat dunia. Ah, terasa berat sahaja punggung ini hendak bangun. Sudah berkali-kali aku membutakan mata, menutup telinga mendengar ketukan pintu. Tok! Tok! Tok! Aku menarik nafas panjang lalu menyahut panggilan ibu. Seperti hari-hari biasa, ibulah yang akan mengejutkan aku daripada terus terlena dibuai mimpi. Adakalanya mimpi indahku terhenti seketika kerana terdengar suara nyaring ibu memanggil nama ‘Usop’. Usop? itulah nama pemberian ibu dan ayah setelah aku lahir di atas muka bumi ini. Entah mengapa namaku Usop. Kalau diikutkan, namaku ini tiada juga kesinambungannya dengan nama ibu, Azura dan ayah, Azman. Kalau dicantumkan menjadi ‘Azra’. Tapi tak mengapalah kerana semua itu tak penting bagi aku. Aku memulakan langkah pagi dengan mempersiapkan diri. Kehidupan kembali bermula sebagai murid sekolah tahun enam di Sekolah Kebangsaan Merpati, Kg. Keriau. Sekolah terindah, masyhur di kampung aku. Kata cikgu, sekolah inilah yang banyak melahirkan anak-anak murid yang cemerlang sampai ke menara gading. Terasa bangga aku dibuatnya. Setelah siap berkemas, aku menuju ke dapur. Melihat kalau-kalau ada sarapan disediakan. Ibu yang terlebih awal duduk menanti aku dengan penuh senyuman untuk bersarapan bersama-sama dengannya. Tapi, timbul persoalan dibenakku ke mana hilangnya ayah pagi-pagi lagi. Biasanya, ayahlah yang paling awal duduk bersarapan kerana hendak pergi bekerja awal. Lantas ku ajukan sahaja persoalan itu kepada ibu. Ibu menjawab pertanyaanku. Rupanya subuh lagi ayah dah pergi kerja kerana hari ini majikannya meminta ayah untuk datang lebih awal. Ayah, seorang yang kuat bekerja. Tidak  pernah mengenal erti penat lelah. Walaupun hanya menyara aku dan ibu. Ayah yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di salah sebuah kilang menyebabkan ayah jarang ada di rumah. Itulah ayah. Jam di dinding menunjukkan pukul 7.00 pagi. Aku harus bergegas ke sekolah kerana pukul 7.15 perhimpunan akan dijalankan. Itulah hari pertama aku kembali ke sekolah setelah lama bercuti menghabiskan masa menolong ibu di rumah. Ku salam tangan ibu yang lembut itu. Ibu mencium pipi kanan dan kiriku lantas memeluk tubuh kecilku. Betapa kasih dan sayangnya ibu akan aku kerana hanya akulah satu-satunya perwiranya. Begitulah intim dan erat hubungan kami. Ibu tak pernah terlepas dengan nasihatnya meminta aku menjaga diri elok-elok. Itulah ibu yang sangat aku sayangi. Dengan berjalan kaki menuju ke sekolah, aku mempercepatkan langkah. Tempat menimba ilmu itu tidak jauh dari rumahku menyebabkan aku hanya perlu berjalan kaki. Kadangkala berbasikal. Dup! Dap! Dup! Dap! Sepanjang perjalanan menuju ke sekolah, jantungku berdegup menanti saat ingin bertemu kembali dengan teman-teman lama yang sudah lama tak bersua seperti sedekad lamanya. Rindu rasa di hati. Sedetik, sesaat, sampai juga aku akhirnya di sekolah tercinta. Aku melihat pelbagai ragam murid-murid sekolahku. Mataku mula melilau mencari kalau-kalau ada teman sekelasku. Kelibat mereka pun aku tak nampak. Entah ke manalah perginya mereka semua. Setelah penat mencari, aku ternampak Azuan, sahabat baikku sejak di bangku sekolah lagi. Riang, gembira, semua perasaan bercampur baur. Detiknya kini tiba untuk aku mula bercerita pengalaman hidup sepanjang cuti persekolahan yang lalu. Walaupun sepanjang cuti aku hanya menghabiskan masa di rumah sahaja. Azuan, murid yang agak gempal tetapi bijaksana. Semua subjek menjadi pilihan hatinya terutamanya subjek seni lukis. Itulah yang aku kagum tentangnya. Azuan menyapa aku dengan gelagatnya yang lucu itu. Membuatkan hati aku sentiasa terhibur tatkala bersamanya. Azuan memberitahu teman-teman yang lain dah masuk dalam kelas baru. Kelas tahun  enam cempaka namanya. Teruja rasa hatiku hendak menjejak kaki ke kelas tahun enam itu. Tik! Tok! Tik! Tok! Masa terus berjalan tanpa henti. Pantas sahaja masa mencantas detik-detik waktu. Waktu tengah hari adalah waktu emas bagiku kerana waktu itu adalah waktu untuk aku pulang ke rumah bersua dengan ibu dan ayah. Pantas sahaja aku mengorak langkah hendak menuju ke rumah. Azuan sempat memesan supaya aku turun ke padang bermain bola pada waktu petang. Laju sahaja aku menganggukkan kepalaku tanda setuju. Saat tiba di rumah, ibu ku lihat sedang sibuk memasak untuk makan tengah hari. Lantas ku labuhkan punggung di atas kerusi makan sambil bercerita kepada ibu tentang pengalaman hari pertama sebagai murid tahun 6. Ibu tersenyum sahaja. Adakalanya turut berbicara.

Udara petang sejuk sekali. Hujan turun dengan lebatnya. Niatku hendak bermain bola bersama Azuan terbatal. Aku menyingkap jendela lantas termenung seketika. Ke mana agaknya ibu pergi. Resah, gelisah, kini bercampur baur. Takutku akan ibu pergi sendiri kerana penglihatan ibu tidak sebaik masa mudanya. Terdengar ketukan pintu lantas ku buka sahaja tanpa soal dan tanya. Ibu rupanya dengan basah kuyupnya sempat lagi melemparkan senyuman dan tanda tanya melihat wajahku yang agak sedikit kehairanan. Bermulalah sesi soal jawab aku dan ibu. Rupanya ibu pergi ke rumah Mak Cik Bedah nak ambil resepi makanan. Jiran yang kaya dengan pelbagai resepi makanan. Tak pernah lokek dalam berkongsi ilmu. Namun, aku lebih kagum akan ibu. Meski masa melewati usia, meski hari semakin tua, ibu tetap mengisi masanya dengan belajar ilmu resepi-resepi yang baru. Itulah minat ibu. Niat ibu hendak membuka gerai makanan belum juga tercapai kerana masalah kewangan masih menjadi halangan. Meskipun ayah hanya menyara aku dan ibu, tetapi hasil pendapatan ayah masih belum cukup untuk menampung kehidupan kami sepenuhnya. Tapi ibu lebih tegar dan tabah menghadapinya. Segala niat ibu korbankan hanya kerana ingin melihat aku bersekolah dan berjaya suatu hari nanti. Tidak sedetik pun ibu ingin melihat aku susah. Cukup tinggi pengorbanan ibu dan ayah menyebabkan aku lebih bersemangat menuntut setiap bait ilmu di sekolah.

Senja malam, suasana suram. Azan maghrib berkumandang dengan syahdunya. Suara Imam Lebai memang lunak. Tak pernah lagi ada orang lain yang mampu menandingi kemerduan suaranya. Selesai mandi, terus sucikan diri dengan air wuduk. Aku, ibu, ayah, tak pernah terlepas solat maghrib dan isyak berjemaah. Mendengar tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Asyraf, ustaz termuda Kampung Keriau. Penuh dengan ilmu-ilmu yang bermanfaat. Terasa diri insaf, insan kerdil menghadap Yang Maha Esa. Allahu Akbar. Selesai semuanya, kembali ke rumah. Ibu mempersiapkan makan malam. Seperti biasa, ala kadar sahaja. Tapi aku tetap bersyukur. Itulah yang membesarkan aku menjadi anak soleh kata ibu. Aku hanya mampu tersenyum. Malam-malam biasa, aku mengulangkaji pelajaran memandangkan tahun itu aku akan menghadapi gelombang peperiksaan besar, iaitu Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Saat inilah aku berjuang supaya dapat menjejak kaki ke menara gading menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat. Ibu dengan rutin hariannya belajar resepi baru sementara ayah asyik membaca surat khabar lama. Sedar tak sedar hari kian lewat. Mataku mula redup menandakan hendak terlelap. Teringat aku akan pesanan Ustaz Asyraf . Sebelum tidur hendaklah sucikan diri dengan air wuduk. Aku pun melangkah ke kamar mandi hendak mengambil air wuduk. Setibanya di hadapan bilik ibu dan ayah, langkahku terhenti. Terdengar suara seorang wanita sedang membaca kata-kata seperti doa. Ku selak sedikit pintu bilik, ku lihat ibu duduk menghadap ilahi memohon doa. Ku lihat juga air mata mutiara mengalir membasahi pipi ibu. Menjadi tanda tanya kepada diriku. Sayu rasa hati, pilu rasa jiwa.

Hari cerah kembali. Sinaran suria memancar bumi. Seperti biasa, aku akan ke sekolah bertemu guru-guru, teman-teman, paling penting menuntut setiap bait ilmu buat bekalan ke akhir zaman. Azuan dengan gelagat lucunya, Lim Kok Seng dengan kuat makannya,  Fatimah dengan novel cintanya, Kamala dengan wajah pucat lesu, kurang sihat agaknya, Izzati dengan sifat leceh dan manjanya dan banyak lagi. Semua dengan gaya tersendiri. Aku? Pastinya lebih suka melihat telatah dan ragam teman-teman. Termenung seketika memikirkan perlakuan ibu semalam. Gelisah, resah, semua bermain di hati dan minda. Ah, tak usah aku terlalu memikirkannya. Semuanya baik-baik saja.

Kring! Kring! Kring! Bunyi lonceng menandakan waktu rehat bermula. Aku dan Azuan rehat bersama-sama. Berkongsi ilmiah hatta rehat sekalipun. Itulah aku. Tak ingin kosong daripada pengisian ilmu. Tiba-tiba suara Cikgu Kamil memanggil-manggil namaku. Cemas, kelam kabut Cikgu Kamil. Lantas dicapainya tangan aku, dipeluknya tubuh kecilku. Aku ternganga dan terpaku. Seperti ada sesuatu yang tidak kena. Ah! Tak mungkin berkenaan soal ibuku atau ayahku. Tapi benar jangkaanku. Cikgu Kamil memberitahu bahawa ibu kini sedang berada dalam keadaan kritikal dan sedang dirawat di Hospital Seri Bunga. Ibu terlibat dalam kecelakaan jalan raya ketika hendak menuju ke pasar. Aku seperti kayu yang kaku. Tak mampu bersuara apatah lagi berbicara. Sedih yang teramat sangat. Ku peluk erat Cikgu Kamil sedang air mata mula menitis di pipi. Ku genggam erat tangan Cikgu Kamil menuju ke hospital. Tidak ku sangka dan tidak juga ku duga akan berlaku seperti ini. Yang Maha Kuasa tempat aku berserah segalanya. Memohon agar Dia menyelamatkan ibu. Sesaat sampai di hospital, terlihat ayah sedang berada di ruangan kecemasan. Detik-detik cemas. Ku peluk erat tubuh ayah. Tangisan ku tidak dapat lagi ku tahan. Ku biarkan sahaja air mata mutiara mengalir membasahi pipi. Seorang doktor tua datang kepada aku meminta supaya aku sabar dan menerima segala ketentuanNya. Ibu pergi meninggalkan aku selamanya. Saat itu aku terpana, pilu, sayu umpama dihempas ombak yang besar.

Pejam celik, pejam celik, terlalu cepat masa berlalu. Hidup juga terlalu singkat. Sudah tiga hari ibu pergi meninggalkan kami tanpa sepatah kata. Kini, tinggallah aku dan ayah mengisi kekosongan rumah. Saudara-maraku, sahabat handai ada juga datang menziarahiku. Sekalung takziah mereka beri kepadaku dan ayah juga. Meskipun sudah tiga hari ibu pergi, kehilangannya tetap ku rasai. Rindu yang teramat sangat. Sunyi, sepi hidup tanpa seorang ibu. Tapi, aku teringat tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Asyraf, bahawa tiap-tiap yang hidup pasti akan mati. Redha dan pasrah. Aku menerima segala ketentuanNya. Semuanya pasti ada hikmahnya. Pada tiga hari yang lalulah aku dapat merasai kucupan terakhir seorang insan bernama ibu. Pelukan mesra, senyuman manis, itu semua dah jadi kenangan dalam hidupku. Saat aku menadah tangan ke hadrat ilahi, sujudku di atas sejadah memohon semoga Yang Maha Esa merahmati dan memberkati arwah ibunda. Ku pejam mata, tidur ku lena. Doaku semoga damailah ibunda di alam sana.



Oleh Firdaus Abdullah (2011)

No comments:

Post a Comment